Cara untuk kurus dengan cepat dan berkesan – siapa yang tak mahu?

Terdapat pelbagai jenis diet dan cara nak kuruskan badan yang viral di internet. Dah cuba bermacam kaedah tapi tidak semuanya menjadi. Nak tahu cara untuk kurus dengan mudah dan berkesan?

Pasti ramai yang nak amal cara nak kurus tanpa produk. Tapi sukar nak disiplin dan ikut diet dengan konsisten. Sebenarnya, terdapat banyak tips dan cara untuk kuruskan badan yang selamat dan sihat. Ia termasuklah kaedah atau pelan diet yang mungkin anda pernah dengar.

Antara diet yang terkenal di Malaysia seperti diet atkins, diet keto, diet tanpa nasi dan diet intermittent fasting. Hakikatnya, semua jenis diet dan cara untuk kurus ini memang berkesan. Namun, ia bergantung kepada individu dan keazaman untuk mematuhi ‘peraturan’ diet tersebut.

Mana yang paling berkesan, mungkin berbeza mengikut tubuh badan individu. Ada jenis diet yang bagus untuk seseorang, tetapi agak ekstrem untuk orang lain. Berdasarkan kepada jenis-jenis diet ini, di sini telah dirumuskan cara untuk kurus yang paling mudah dan paling berkesan.

Inilah cara untuk kurus yang anda wajib ikut.

1. Kurangkan Karbohidrat, Lebihkan Protein

Salah satu cara untuk kurus yang paling berkesan adalah dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat. Ini bukan bermaksud anda tidak boleh mengambil langsung sumber karbohidrat dalam diet seharian. Karbohidrat adalah penting kerana ia memberikan tenaga kepada tubuh badan.

Kajian telah membuktikan bahawa pelan diet rendah karbohidrat adalah cara terbaik untuk menurunkan berat badan. Selain itu, kaedah ini juga bagus untuk mengurangkan risiko diabetes dan sakit jantung.

Untuk menggantikan karbohidrat, anda mesti banyakkan pengambilan protein. Ini bagi memastikan anda berasa kenyang dan kurang lapar.

  • Kurangkan karbohidrat – gula, makanan berkanji seperti nasi, roti dan ubi kentang
  • Banyakkan protein – daging, ikan, telur, kekacang

2. Kurangkan Pengambilan Kalori Harian

Cara untuk kurus yang paling senang adalah dengan kawal pemakanan. Antara langkah yang boleh anda amalkan ialah kurangkan pengambilan kalori harian. Pastikan anda hanya mengambil kalori harian yang diperlukan sahaja. Semakin kurang kalori yang diambil, semakin mudah berat badan menurun.

Macam mana nak kira kalori?

Secara umumnya, jumlah kalori yang diperlukan setiap hari ialah 2000 kalori untuk lelaki, dan 1500 kalori untuk wanita. Anda juga boleh kira kalori yang anda perlukan setiap hari berdasarkan tinggi, berat dan aktiviti harian anda (aktif atau tidak aktif). Pastikan pengambilan kalori harian anda tidak lebih dari kalori yang diperlukan.

Berikut adalah antara cara nak kurus melalui pengiraan pengambilan kalori harian:

  • Kira pengambilan kalori harian menggunakan sebarang aplikasi pengiraan kalori di smartphone
  • Elakkan pengambilan snek berkalori
  • Kurangkan pengambilan sos tambahan seperti sos cili dan kicap kerana ia juga mengandungi kalori

3. Makan Dalam Kuantiti yang Kecil

Kalau nak kurus, anda kena biasakan diri untuk makan dalam kuantiti yang kecil. Ini adalah bagi memastikan anda tidak terlebih makan. Kaedah ini membantu mengurangkan rasa craving untuk makan, sekaligus mengurangkan pengambilan kalori.

Tambahan lagi, makan dalam kuantiti yang kecil membolehkan tubuh anda untuk terus menggunakan makanan yang anda makan sebagai tenaga dengan segera. Jadi, ia tidak tersimpan sebagai lemak berlebihan.

Selain dari mengamalkan teknik makan suku-suku separuh, anda juga boleh jadikan tangan anda sebagai panduan. Ambil nasi sebesar penumbuk, sayur-sayuran pula sebesar tapak tangan.

4. Makan Sedikit Tapi Kerap

Selain dari mengawal pemakanan, anda juga boleh cuba cara untuk kurus dengan makan sedikit tapi kerap. Sebagai tambahan pada waktu makan utama – sarapan, makan tengahari dan makan malam – anda juga boleh selitkan masa untuk snacking. Tapi janganlah snacking dengan makanan berkalori tinggi. Biasakan untuk makan buah-buahan sebagai snack.

Elakkan dari membiarkan perut anda kosong selama 3-4 jam. Ini kerana ia boleh menurunkan kadar metabolisme dalam badan. Oleh itu, susun waktu makan anda supaya anda boleh makan lima kali sehari dalam kuantiti yang kecil.

Harus diingatkan agar anda tidak berlapar, kerana anda berisiko untuk melantak dan makan dengan kuantiti yang banyak ketika waktu makan. Binge eating adalah sangat berbahaya untuk kesihatan fizikal dan mental.

5. Pilih Makanan Sihat

Nak kurus, anda mesti bijak dalam memilih makanan. Sebaiknya, rujuk pada piramid makanan Malaysia. Ia bagi memastikan makanan yang anda ambil setiap hari adalah sihat dan seimbang. Tambahan lagi, ia menjamin kepelbagaian makanan daripada setiap aras piramid makanan. Ini kerana tiada satu jenis makanan yang boleh membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan.

Selain itu, elakkan juga makanan yang bergoreng. Pilih makanan dan lauk yang dimasak secara sihat, seperti dikukus, dibakar dan di grill. Kurangkan juga masakan yang mengandungi banyak garam dan gula serta penggunaan serbuk perasa. Untuk sayur-sayuran, ulam-ulaman adalah lebih baik berbanding sayur yang digoreng.

Untuk menggantikan manisan dan dessert, pilih buah-buahan. Negara kita sangat kaya dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan. Jadi anda boleh pelbagaikan variasi buah agar tidak bosan.

6. Pantang Minuman Manis

Cara untuk kurus yang ramai orang selalu lupa – pantang minuman manis dan bergula

Gula yang berlebihan adalah tidak bagus dan boleh membahayakan kesihatan. Sedar atau tidak, banyak pengambilan gula kita datang dari minuman. Setiap kali makan, pasti dilengkapi dengan minuman manis. Ini termasuklah air berkarbonat, air dalam tin serta jus kotak.

Tahukah anda, 1 gram gula bersamaan dengan 4 kalori. Satu sudu gula adalah lebih kurang 15 gram, bersamaan dengan 60 kalori. Kalau dikira kuantiti gula dalam air bersoda, berapa agak nya jumlah kalori? Mesti banyak kan. Gula dan kalori yang berlebihan ini akan bertukar menjadi lemak dalam tubuh badan. Hasilnya, berat badan sukar nak turun

7. Cara Untuk Kurus yang Penting – Jangan Skip Sarapan!

Cara nak kurus yang paling best adalah dengan makan. Ya betul, dengan makan sarapan pagi.

Sarapan adalah hidangan yang paling penting dalam sehari. Ini kerana sarapan pagi merupakan hidangan pertama selepas anda tidak makan sepanjang masa tidur pada waktu malam. Ia yang akan mencetus kadar metabolisme harian anda, dan merupakan rahsia untuk menurunkan berat badan.

Tambahan lagi, kajian membuktikan bahawa mereka yang mengambil bijirin semasa sarapan pagi, mempunyai berat badan yang sihat dan tahap BMI yang rendah. Selain itu, mereka yang tidak bersarapan juga cenderung untuk makan banyak, lalu terlebih makan semasa makan tengahari.

8. Makan Malam Awal

Ramai orang telah berkongsi cara untuk kurus dengan tidak makan malam. Sebenarnya kaedah ini adalah tidak tepat. Anda boleh makan malam, hanya awalkan waktu makan anda. Waktu yang paling ideal untuk makan malam adalah sebelum pukul 8.00 malam.

Kajian menunjukkan bahawa denggan makan malam awal, ia boleh membantu untuk membakar lemak. Selain itu, ia juga menurunkan tahap gula dalam badan.

Ini kerana badan kita memerlukan sekurang-kurangnya 4 jam untuk hadam makanan. Jika anda makan malam pada pukul 8.00 malam, anda boleh ready untuk tidur sekitar jam 12.00 malam. Bayangkan jika anda makan jam 10.00 malam, anda kena berjaga sehingga pukul 2 pagi. Kalau terus tidur, makanan yang tidak dihadam akan jadi lemak.

9. Elakkan Makanan yang Diproses

Makanan yang diproses seperti burger, sosej dan kentang goreng adalah tidak sihat dan boleh menggagalkan misi anda untuk turunkan berat badan. Makanan yang diproses ini bukan sahaja tidak mengenyangkan, malah mengandungi kalori yang tinggi.

Kajian membuktikan bahawa makanan yang diproses sangat berkait rapat dengan obesiti. Semakin banyak pengambilan makanan yang diproses dan makanan segera, semakin tinggi risiko untuk berat badan naik yang akhirnya menjadi kegemukan.

Tambahan lagi, makanan seperti ini juga mengandungi garam, gula dan lemak tersembunyi yang sangat tinggi. Kalau nak kurus, elakkan dari makanan yang diproses. Perbanyakkan makanan sebenar seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini bukan sahaja mengenyangkan, malah mengandungi protein banyak protein tanpa kalori yang tinggi.

10. Banyakkan Minum Air Masak

Tahukah anda, 60% dari badan manusia dewasa terdiri daripada air. Ternyata, air merupakan satu elemen yang sangat penting untuk tubuh badan kita. Antara peranan air dalam fungsi tubuh adalah termasuk:

  • Mengawal suhu badan
  • Membantu penghadaman
  • Perkumuhan
  • Membantu pertumbuhan sel badan

Selain itu, air masak juga merupakan sumber semulajadi yang penting untuk kurus. Ia membantu untuk mengeluarkan toksin dari badan melalui air kencing dan peluh. Jadi kalau nak kurus, pastikan minum air masak sekurang-kurangnya 2 liter sehari.

11. Bersenam dan Bersukan

Cara nak kurus bukan hanya dengan diet dan kawal pemakanan. Mesti seimbangkan dengan bersenam dan bersukan. Tidak pergi gym pun tidak mengapa. Yang penting kena selalu bergerak dan aktif. Senaman bukan sahaja membantu untuk membakar lemak, malah ia juga membantu untuk memperbaiki peredaran darah dan menaikkan stamina.

Senaman kardio sangat membantu untuk anda kurus. Antara senaman kardio yang boleh anda amalkan ialah berlari, berenang, mengayuh basikal dan lompat tali skipping. Kalau anda ada keahlian gym, boleh gunakan mesin kardio yang ada.

Kena bersenam berapa kali seminggu? Sebenarnya tiada saranan tetap, ia bergantung kepada anda. Minimum ialah 30 minit 3 kali seminggu. Semakin kerap dan lama anda bersenam, semakin cepat anda kurus.

 

Itulah dia cara untuk kuruskan badan yang paling mudah dan paling berkesan. Selamat kuruskan badan! Yang paling penting, kena konsisten dan berdisiplin amalkan semua cara untuk kurus ini.